Friday, September 30, 2016

SALAM MAAL HIJRAH 1438H

Hari ini merupakan hari Jumaat terakhir bagi tahun Hijrah 1437. Dua hari lagi kita akan menyambut bulan muharam dan seterusnya tahun baru 1438Hijrah. Justeru, dengan kedatangan bulan baru bagi tahun baru Hijrah ini sama-sama lah kita bertekad dan berazam untuk meneruskan kehidupan dengan lebih matang dan rasional.


Terlalu banyak perkara yang aku anggap kalut dan tersasar sepanjang tahun lalu. Namun sebagai hamba dan insan yang sentiasa berada dalam kedudukan yang 'lemah' dan khilaf, kita hanya mampu berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam diri. Sudah pasti, Pencipta yang Maha Agong dan Maha berkuasa mengaturkan segala-galanya dengan maksud yang penuh rahsia dan hanya Dia lah yang mengetahuinya.


Sesungguhnya, aku bersyukur kerana diberikan peringatan untuk terus sedar bahawa aku hanyalah menjalankan apa yang telah direncanakan olehnya didunia ini. Yang pasti, aku sentiasa memohon agar kita semua dikurniakan kesejahteraan dan keselamatan bagi meneruskan hidup yang sebenarnya hanya beberapa ketika didunia yang fana ini. 

Bersamalah kita memohon dengan doa yang tulus agar kita semua diberi keampunan diatas segala kesilapan lalu serta dipelihara dari segala kejahatan. Mudah-mudahan negara kita yang tercinta ini terus dikurniakan keamanan dan dihindari dari segala musibah yang menghancurkan...

Insha Allah,.. Aamin.

Friday, September 16, 2016

SELAMAT HARI MALAYSIA

Hari ini 16hb September 2016, semua tahu yang kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-53. Alhamdulillah syukur kerana negara tercinta ini masih aman dan tenang dari segi aktiviti harian rakyatnya. Kita masih boleh bergerak kemana-mana tanpa dihantui kegusaran tentang sebarang keganasan melampau ataupun pergolakan seperti yang dialami oleh beberapa negara lain. 

Sesungguhnya hari ini merupakan satu hari yang amat bersejarah buat kita seluruh warga Malaysia. Pembentukan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 53 tahun lalu, telah benar-benar diterjemah dan dipertahankan bersama-sama hingga ke hari ini. 

Hingga disaat ini, negara tercinta yang bernama Malaysia ini telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang aman dan makmur serta tenteram untuk menjadi tempat tinggal kita semua. Alhamdulillah, walaupun masih ada gangguan dari pihak luar yang cuba ingin memecah belahkan, kita masih mampu menanganinya secara diplomasi.

Namun, permasalahan dalaman akan terus wujud selagi kita hidup. Apalagi sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, pastinya perselisihan pendapat serta gangguan emosi antara satu sama lain akan berlaku. Tetapi bagaimana kita berkompromi didalam mencari jalan penyelesaian itulah yang menjadi keutamaan yang harus kita ambil secara serius.

Apapun permasalahan yang wujud dikala ini, baik diperingkat kepemimpinan hinggalah kepada rakyat jelata, harus kita tangani secara rasional dan bijaksana demi mempertahankan hasil perjuangan generasi terdahulu sejak 53 tahun lalu. 

Kepentingan umum harus diberikan keutamaan. Emosi yang terganggu oleh segala permasalahan yang timbul pula tidak harus di tangani secara melulu sehingga memberi kesan buruk kepada keseluruhan kehidupan orang lain yang sama menumpang teduh diatas bumi keramat anugerah yang Maha Esa ini.. 

Justeru, marilah kita semua berganding bahu serta berikrar  dengan satu semangat yang baru untuk melangkah ke arah kehidupan yang lebih sempurna didalam sebuah negara yang bernama Malaysia ini dengan lebih tenang, tenteram dan selamat. Bukan hanya untuk diri kita, tetapi juga untuk kita wariskan kepada anak cucu dan generasi akan datang.

Selamat Hari Malaysia!

© Senyum Poyo

Tuesday, September 13, 2016

KEANGKUHAN NAK TUTUP BINGAI

Satu Malaya dah tahu pasal statement sorang 'pemimpin hebat' ni. Bagi aku, keras, kasar serta biadap. Tidak langsung menggamit rasa hormat dari aku dan mungkin juga dari sesetengah masyarakat di bumi tercinta ini. Dan sejujurnya, aku bukannya sesiapa yang mampu memberi teguran selain meluahkanya di entry aku ni... 

Bagi aku, menghalalkan pertuturan kurang ajar demi menterjemahkan sikap berterus-terang adalah sikap seorang yang cetek pemikiran serta bodoh. Malah ia sikap pengecut yang tidak tahu bagaimana mempertahankan budaya bangsa yang disusun atur oleh nenek moyang terdahulu.

Sebagai seorang 'pemimpin' yang mengetuai sebuah kementerian yang mana agensi-agensi dibawahnya bertungkus lumus mengangkat dan memperjuangkan 'budaya serta teras-teras kebangsaan berasaskan adab' di mata pelancong asing, beliau aku anggap sebagai 'perosak' yang memimpin kearah kerosakkan budaya dan adab bangsa majoriti di tanahair ini. Oh mungkin dia terlupa tentang rukun negara yang ke-lima.. 

Ni aku ingatkan:
'Kesopanan dan Kesusilaan'

Namun siapa aku yang mampu mengubah sikap si 'biadap' sorang ni? Dan juga sikap tingkahlaku beberapa spesis yang sejenis dengannya. Justeru biarkanlah dia terus melalak dan melaungkan sambil membuat pengakuan tentang kebodohannya secara tidak sedar... kehkehkeh

Bagaimanapun aku juga akui, sikap sesetengah pengamal media juga mungkin menyumbang kepada punca 'kebodohannya' terserlah. Pintar sungguh wartawan ni sebenarnya. Tindakan provokasi dan serta keghairahan untuk mendapatkan maklumat demi menjadi yang pertama dan terhangat, menjadikan sesetengah pemimpin ini tidak mampu atau tidak berkesempatan untuk berfikir secara rasional sebelum menjawab sebarang persoalan yang diajukan. Nah, apa lagi jika caranya itu bebentuk soalan 'batu api' yang dengan jelas ingin melaga-lagakan mereka.

Namun apa pun alasannya,  kematangan pemikiran pemimpin itu sendiri tatkala berdepan dengan para pengamal media ini harus diterjemahkan melalui pertuturan jawapan yang diberikan. Bagi aku tidak perlu emosional dalam memberikan pendapat. Dan tidak menjadi kewajiban juga untuk pemimpin ini menjawab setiap soalan yang diajukan jika ianya dianggap tidak penting dan tidak menggugat kepemimpinan beliau. 

Hatta, jawapan yang menampakkan kebodohan dan keangkuhan itulah sebenarnya memberikan gambaran bahawa beliau dalam keadaan yang sangat tergugat... dia yang kompomkan sendiri, Ye tak? Tak payahlah kita nak susah payah pikir dia ni pandai atau bingai... Kehkehkeh...


Wallahu a'lam..


© Senyum Poyo

Tuesday, September 6, 2016

MENUJU KEHANCURAN? BETUL KE NI?

Aku terbaca mesej yang rasanya dah viral di WA beberapa hari lalu. Jika ikut cara 'ingatan' yang diberikan, memang menyeramkan... bagi aku lah kot!

Tapi, Iye ke? mesej itu kononnya mengingatkan masyarakat supaya menangguhkan sebarang pelaburan, pembelian hartanah atau kereta, di samping berbelanja secara berhemah. Orangramai juga dinasihatkan menyimpan duit yang ada untuk berdepan tempoh sukar yang bakal tiba itu.

Walau dalam situasi antara nak percaya dengan tidak, aku cuba membuat analisa aku sendiri... Dalam persekitaran ekonomi dunia tidak menentu ketika ini, ramai pakar ekonomi sekalipun tidak dapat memberi ramalan tepat apa akan berlaku.. Hmmm...

Tapi, berdasarkan 'laungan' orang-orang hebat di negara ini, ekonomi negara masih bertahan walaupun diancam persekitaran ekonomi dunia sangat mencabar. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, ia berkembang 4.1 peratus. Ia juga agak menyeluruh iaitu semua sektor utama mencatatkan pertumbuhan positif kecuali pertanian.

Untuk keseluruhan 2016 ini, Bank Negara yakin ekonomi negara akan tumbuh antara 4.0 dan 4.5 peratus. Seperti pada separuh pertama lalu, Bank Negara menjangkakan pertumbuhan separuh kedua ini juga akan terus dipacu permintaan domestik, merangkumi perbelanjaan swasta (pelaburan syarikat dan perbelanjaan pengguna) serta awam.

Maknanya, jangkaan bank pusat itu sudah mengambil kira unjuran kelembapan ekonomi luar serta kelemahan harga minyak dunia. Di pihak kerajaan pula, selain menyuntik pelbagai projek prasarana dan melaksanakan program merangsang pendapatan boleh guna orang ramai, ia juga giat mengadakan inisiatif menggalakkan industri menggunakan lebih banyak bahan tempatan.

Justeru, prospek ekonomi negara bagi tahun ini masih positif. Begitu juga tahun depan. Bersandarkan asas-asas yang ada, Bank Dunia Jun lalu mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang 4.4 peratus tahun ini dan 4.5 peratus tahun depan.

Bagi ekonomi dunia pula, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lalu mengunjurkan pertumbuhan 3.1 peratus tahun ini dan 3.4 peratus tahun depan.

Berdasarkan fakta itu, aku tidak nampak apa dimaksudkan 'menuju kehancuran' seperti disebutkan dalam mesej diviralkan, melainkan mereka yang melakukan mempunyai agenda untuk kepentingan yang tersembunyi. Malah, mungkin sengaja untuk menakut-nakutkan masyarakat agar dengan tujuan tertentu.... entah lah...

Memang dan tak boleh disangkal bahawa sekarang ini wujud pelbagai risiko dan tekanan terutama dari luar, tetapi jika pelaburan ditangguhkan dan perbelanjaan pengguna jatuh mendadak, sudah pasti menjerumuskan ekonomi negara kepada kemelesetan.

Eh, Tetiba je jadi macam penganalisis ekonomi pulak aku ni... kehkehkeh...
Apa pun, info diatas tu aku ambil dari apa yang aku baca penulisan kolumnis Saidon Idris di BH.

Sebenarnya ia menarik perhatian aku, serta  berminat untuk aku kongsi dengan anda yang sama-sama mengalami masalah 'kerisauan ekonomi' macam aku... 

Nak sedapkan hati lettew..kehkehkeh

Wallahu A'lam...


Wasalam | © Senyum Poyo