Wednesday, December 31, 2014

SELAMAT TAHUN BARU 2015

Alhamdulillah... 

Tanpa disedari, kita dah pun berada di penghujung tahun 2014.
Esok kita akan membuka lembaran baru, serta menunaikan azam dan mengejar cita-cita yang telah kita rancang dalam hidup kita.

Pasti banyak kisah suka duka yang kita simpan dan telah kita dijadikan memori indah dalam hidup kita.  Walau apa jua memori yang kita kumpulkan sepanjang tahun 2014, sudah tentu ia akan menjadi pengalaman yang sangat bernilai dalam meneruskan penitian perjalanan hidup di atas muka bumi ini.

Justeru, hanya rasa syukur yang wajib kita panjatkan kerna masih diberikan peluang untuk bernafas dan menghirup nikmat yang dipinjamkan ini. Kepada rakan-rakan, saudara mara yang telah dijemput oleh Nya pada tahun lalu, hanya doa yang dapat kita titipkan semoga sentiasa berada didalam lindungan Nya disana. 

Terus kekalkan keceriaan dan sentiasa berfikiran positif. Semoga esok lebih baik dari hari ini.

Selamat menyambut tahun baru 2015.


© Senyum Poyo

Friday, August 1, 2014

SELAMAT HARI RAYA 1435h

Walaupun dah agak terlambat sikit, aku rasa masih 'sah' untuk aku ucapkan;

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
buat semua saudara, rakan dan kenalan yang selama ini bersama aku secara langsung dan tidak langsung...

MAAF ZAHIR DAN BATHIN
jika ada terkasar bahasa, tersalah interpret dan ter'kutuk' sesikit tu ek...

harap kita dapat mulakan dengan lembaran baru...
Kita KOSONG KOSONG la yer

Wassalam....

Thursday, July 3, 2014

RAMADHAN KAREEM 1435

Ramadhan kembali lagi..... 
Alhamdulillah, syukur telah dipanjangkan usia untuk bertemu bulan ramadhan al mubarak pada tahun 1435 hijrah ini. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang bulan yang mulia ini untuk bersama-sama mengecap nikmat yang belum pasti dapat kita temui lagi selepas ini. 

Apa yang menarik pada ramadhan kali ini ialah cabaran keadaan cuaca yang ekstrim ketika ini. Mengikut ramalan, Fenomena El-nino dan ntah apa2 namanya lagi bakal melanda negara sepanjang ramadhan hingga ke pertengahan syawal nanti. Suasana ini pastinya memberikan kita semua satu ujian yang lain dari tahun2 lepas. Namun segala yang berlaku ini pasti ada hikmah disebaliknya. Hanya Dia yang Maha Tahu... Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan ramadhan ini... Seterusnya mendapat rahmat dan limpahan keberkatan dari Nya...  Amin

Aku dah tak de apa yang nak di coretkan selain ingin mengucapkan "selamat menunaikan ibadah puasa untuk semua umat Islam dimana saja anda berada...." 

© Senyum Poyo

Wednesday, June 4, 2014

BERJAYA DAH 'MEREKA'

Jom lumba… Jom komen… jom post kat status cepat! Siapa dulu komen dia hebat. dia nombor satu… dia akan popular! Ini lah trend yang sedang berlaku di kalangan kita… Tiada siapa yang dapat menghalang… tiada siapa yang dapat menghentikan…  Syabas! berjaya dah yahudi menakluk pemikiran kita tanpa perlu bertemu dengan setiap seorang dari kita…

Aku dah semakin loya. Semakin nak muntah. Tapi siapa aku yang nak sibuk-sibuk membahaskan isu ini… Masing-masing memiliki kebebasan untuk meluahkan apa yang dirasa… Tak suka tak yah baca.. tak yah tengok… tak yah amik tahu lah!

Dari pengamatan aku, semakin maju teknologi media, semakin malas kita nak memikirkan rasional dan logik disebalik tindakan kita. Kalau 30 tahun dulu, kita akan cuba berusaha mencari maklumat yang benar dan disahkan oleh sumber yang dipercayai, sebelum menyampaikan kepada pihak lain, kini tidak lagi. Kini, kita lebih cenderung untuk mengikuti isu-isu sensasi, seterusnya berlumba-lumba untuk memberikan ‘analisa’ serta pendapat yang nyata dipengaruhi oleh emosi dan latar keperibadian kita sendiri.

Aku tetiba terfikir. Apakah akan terjadi dalam tempoh 20 tahun yang akan datang? Bagaimana generasi anak cucu kita mampu mencapai matlamat didalam kehidupan mereka? Yang paling menakutkan aku ialah, generasi anak2 dan kita sendiri sudah semakin terleka dengan permainan ini. Jika kita amati, urusan dunia hari ini semakin perlahan didalam setiap tindakan, manakala waktu pula dirasakan semakin pantas berlalu.. dan kita masih berada di posisi yang sama..

Pendapat setengah masak aku ialah, bukan waktu yang semakin pantas berlalu. Detik masa tetap sama dari dulukala. Sehari tetap dikurniakan 24jam… Sebulan masih tetap 30 dan 31 hari .. dan setahun masih ada 12 bulan… So, apakah yang membuatkan ianya berlalu dengan pantas?

Pasa aku sebenar-benarnya ialah, urusan dan tindakan kita yang semakin perlahan. Usaha-usaha kita sering bertangguh… tanggungjawab dan amanah tidak sepenuhnya di tunaikan.. Penyelesaian dan perhatian terhadap perkara-perkara yang serius, tidak menjadi keutamaan.. Kita membiarkan masa berlalu yang pada akhirnya masa itu meninggalkan kita yang masih leka… Leka dengan apa?

Leka dengan ciptaan 'mereka'.. leka dengan media sosial  untuk menjadi no 1 memberikan komen dan pendapat! leka dengan populariti menjadi 'keyboard warrior'... Inilah antara  ‘penaklukan’ minda yang paling halus yang dilakukan untuk melalaikan kita demi melemahkan kita sebelum diri kita dikuasai sepenuhnya oleh ‘mereka’..


Hampeh! berjaya dah ‘mereka’… 

© Senyum Poyo

Tuesday, June 3, 2014

HITAM, PUTIH & KELABU

Beberapa minggu ni ntah kenapa, aku asyik terlihat dan terbaca artikel tentang hukum dan hukuman… dari perihal kehidupan harian hinggalah kepada urusan pegangan yang aku lihat seolah-olah menjadi ‘permainan’ segelintir pihak. Secara peribadi, aku berpendapat  ia umpama melihat permainan dam haji di kedai kopi kampong yang beratapkan daun rumbia. Cer la bayangkan sendiri..

Aku bukanlah pakar didalam hukum hakam ni.. malah, masih ada banyak sifat kejahilan. Tapi syukur juga kerna aku bukanlah tolol sampai tidak dapat mentafsir yang ‘putih’ dan ‘hitam’. Cuma apabila sedikit ‘putih’ dan sedikit ‘hitam’ itu dicampurkan, pasti ianya menjadi ‘kelabu’ (grey) dan di sinilah persimpangan yang sering mengelirukan aku. Dan tidak keterlaluan jika aku rasa ada juga insan lain yang sependapat dengan aku.

Situasi 'kelabu' ini nampaknya memberi peluang kepada segelintir insan yang memegang ‘berus pewarna’ yang ingin mencari populariti atau apa jua kepentingan dengan mentafsirkan ‘warna’ mengikut citarasa mereka. Oleh kerana subjektifnya perkataan 'tafsiran' itu sendiri, Maka pertembungan ‘citarasa’ pun bermula.

Justeru, pelbagai persoalan akan terawang-awang tanpa ada haluan yang jelas. Penetapan warna akan menjadi isu perbahasan yang seolah-olah ‘seronok’ diperbincangkan, demi ‘melupakan seketika’ perkara yang masih belum terjawab dan memeningkan kepala. Oleh itu, satu permainan harus difikirkan. Samada mahir atau tidak, bukan jadi isu. Yang penting, perhatian harus dialihkan agar stress tidak sampai ke bilik kelamin di malam hari.

Hatta, kita sering melihat kejahilan ‘tukang warna’ itu menelanjangkan ‘kemaluan’ mereka sendiri tanpa mereka sedari. Ada diantaranya yang lebih ter’londeh’  dari ‘londeh’nya mereka di bilik kelamin di malam Jumaat. Fuh! 
Namun, masih boleh senyum poyo di depan kaca tv dan dada-dada akhbar tanpa ada rasa 'kemaluan'.

Segala format media sosial dan elektronik pula akan menjadi sasaran untuk semua pihak mem'parlimen'kan isu. Semua bagaikan ‘ahli yang berhormat’ membangkitkan usul serta memberikan pandangan mengikut selera masing-masing. Seolah-olah ia ‘demi kepentingan sejagat’.  Yang memegang tanggungjawab menterjemahkan ‘putih’ dan ‘hitam’ pula seakan hanya ditugaskan mengira undi (‘like’) untuk melihat siapa yang mendapat majoriti sebelum memutuskan usul untuk digazetkan. Oh… semakin kelabulah orang yang setengah masak seperti aku.

Jadi, bagaimanakah kita mampu menyusuri laluan yang boleh diyakini sebagai ‘putih’ atau ‘hitam’ yang mutlak? Ops! Mungkin aku sendiri aje yang sering 'kelabu' kot?

Hanya Dialah yang Maha Tahu dan hanya kepada Dialah aku berserah.. Semoga hidayah akan terus turun dan bertapak di qalbu..


Wallahu A’lam…

© Senyum Poyo

Monday, May 5, 2014

SETAHUN DAH !

Well, Hari ini 5 Mei 2014 genap setahun selepas pilihanraya umum ke 13. Apakah yang kita dapat analisis daripada 'majlis' ini? Ye, masih terlalu awal untuk aku menterjemah apa yang bakal terlaksana untuk tempaoh satu penggal selepas PRU ini.

Aku pasti ramai yang akan menyanggah statement aku jika aku katakan tidak ada apa yang boleh aku banggakan didalam kehidupan harian setelah semua pihak yang menang meneruskan pentadbiran yang diamanahkan. Sejak setahun lalu, pelbagai isu yang memberi tekanan kepada kita semakin terserlah. Selain itu, 'bala bencana' yang tiba seakan memberi 'hukuman' kepada kita semua walaupun antara kita ada yang tidak terlibat langsung didalam merencana dan memegang amanah ini.

Lihat saja berita di TV setiap hari. Bagi aku tiada banyak bezanya dari apa yang di laporkan 4-5 tahun sebelum pru dulu. Cuma cara penyampaiannya aje yang diubah suai oleh mereka yang 'pintar' dalam membuat 'cerpen dan novel' politik. Tak caya? Cuba imbas balik. 

Kisah keburukan sesama kita terus menjadi 'headline' di dada akhbar dan media elektronik. Kisah perbalahan antara parti-parti politik terus 'berkumandang', sama aje macam masa kempen pru dulu... Kisah kondem mengondem terus menghiasi hampir semua media... Kisah ulangtayang 'drama liwat', di tayangkan semula dengan 'olahan babak'. Kisah-kisah 'racist' dah jadi seolah senjata bagi orang-orang tertentu yang kononnya untuk mempertahankan hak. Dan macam-macam kisah lagi yang aku maleh nak tulis kat sini...

Pointnya ialah; bagi aku kisah semua tu tidak membantu didalam pembangunan dan kesejahteraan hidup kita semua. Ye betul, perkara tu harus ditangani dengan bijaksana. Tetapi tak perlulah menjadi agenda utama untuk diberikan perhatian oleh semua pihak. Biarkan yang dipertanggungjawabkan menyelesaikannya. Jika semua yang memikul amanah terus memberi perhatian pada perkara-perkara ini, bila masa nak melaksanakan tanggungjawab sebenar yang diamanahkan? Bagaimana dengan halatuju kehidupan kita esok hari dan anak cucu kita di masa akan datang?

Bagi aku transformasi yang di war-warkan juga masih berada dibibir. Ye, mungkin pelaksanaanya masih berjalan, tetapi apakah kita tidak layak untuk merasakan prosesnya? Oh mungkin aku masih tidor. Kos hidup yang semakin meningkat tu adalah sebahagian dari transformasi kot?  Ntah ler... Kalau setahun berlalu macam ni, kita cuma ada 2 tahun lagi untuk melihat dan merasakan sebahagian daripada hasilnya... setidak-tidaknya proses kearah itu... Tahun ke-3 dan ke-4, tak perlu berharap sangat kerana semua pihak akan sibuk lagi dengan perancangan untuk PRU 14 pula... So, it will go round and round and round... 

Apa pun setahun telah berlalu. 12 bulan itu tak mungkin akan kembali lagi. Persoalan dalam kepala aku... Aku ulang ye, dalam kepala aku; Apakah perkara yang sama akan berlaku dalam masa 2-3 tahun lagi? Suka tak suka, kena lah sabar dan terus bersabar dengan bersandarkan harapan... 

Wallahu a'lam...

© Senyum Poyo

Monday, March 31, 2014

TERUS BERDOA

Aku masih tidak bersemangat nak mencoret apa-apa... tak tak tahu kenapa sejak akhir-akhir ni macam-macam kisah suram melanda kita di Malaysia ni... Mungkinkah kita sudah jauh terpesong dari landasan sebenar? Jika benar, diharapkan kejadian demi kejadian ini akan memberi sedikit peringatan buat kita semua... Apa pun, buat masa ini aku hanya mampu memanjatkan doa untuk yang terbaik buat kita semua yang dilanda pelbagai peristiwa suram ketika ini.

Kepada mereka dan keluarga mereka yang terlibat dalam episod duka MH370, hanya harapan dan doa yang tidak pernah putus agar segala rasa kepiluan ini akan berakhir dengan satu jawapan yang mutlak dan pasti... Jangan lagi ada spekulasi... jangan lagi ada teka teki... semoga ketenangan wujud di hati... 

Bersabarlah dengan dugaan ini... sesuatu yang terbaik telah diatur oleh Nya... hanya Dia lah yang Maha Mengetahui rahsia disebalik kejadian ini...

Teruskan lah berdoa... mudah-mudahan di berikan petunjuk yang lebih benar...

Wallahu A'lam


Monday, February 24, 2014

BRIM BRIM BROOM!

Uwah, sehari dua ramai yang tersenyum... ada brim yang 'gugur'.. Samada senyum tu lebar kerana gumbira, mahupun senyum tersengih kerana tersindir semua masih boleh senyum... Aku je yang senyum poyo sebab tak dapat. Kehkeh

Btw, aku cuma nak berkongsi pendapat je ni. Aku sempat menonton sedikit ucapan orang nombor 1 pagi sabtu lalu tentang pemberian brim ni. Seperti biasa, kita semua menonton dan mendengar ucapan yang sangat teratur susunan ayatnya, polite dan 'promising'... pastilah, seorang pemimpin harus pintar didalam ucapan dan pidatonya. Kalau tak saper yang nak percaya betul tak?

Cuma apa yang kurang menyenangkan aku (personal preference lah ni) ialah; hampir lebih separuh dari ucapan itu berbaur politik dan kempen. Kajang menjadi sasaran yang aku nampak.Semua orang pun dah tahu apa yang sedang 'rancak' di Kajang selain dari satay Samuri.. tak yah nak ulaslah... Saper yang tertinggal bas tu, pergilah cari teksi ke, prebet sapu ke untuk dapatkan berita dan info tentang Kajang...Tetiba Kajang fofular bukan setakat sataynya.. malah semua orang, menteri dan businesman fokus pada Kajang kali ni... fuh bangganya aku bermustautin di Kajang...

Persoalannya, apa kaitan kajang dengan brim ni? kata nak membantu mengurangkan sara hidup rakyat (adalah sikit untuk sebulan kot) tapi kenapa dalam ucapan difokuskan kepada sesuatu yang berbaur politik? Kenapa isu menteri besar, calon dan lain-lain yang tidak ada kena mengena dengan brim dipanjang lebarkan? entahlah... Selalu sangat aku mendengar 'seruan' yang menyatakan setiap 'pemberian' itu bukan untuk 'memancing', tetapi orang paling dungu pun boleh menilai... mungkin inilah cara penyampaian era baru... 'reverse psikology'

Apapun, kepada yang dah dapat tu bersyukurlah pada Allah yang memberikan rezeki yang cuma disampaikan oleh orang yang dipertanggungjawabkan memegang amanah. Apapun agenda disebaliknya, usahlah dipertikai dan diambil pusing sangat. Kerana saat ini, kos hidup semakin mencengkam dan rasanya akal minda yang ada harus digunakan untuk memikirkan jalan keluar dari tekanan ini... Kalau dah dok nak fikir apa agenda orang lain, bila pulak nak fikir 'stok' dan tabung perbelanjaan harian dan masa depan ye dak? 

Pada aku rezeki kurniaan tuhan ini usahlah di politikkan. Kepada anda yang punya kuasa mengusahakan pemberian ini, ingatlah itu sudah sememangnya menjadi amanah yang dipertanggungjawabkan kepadamu.. Usahlah terlalu ego dan sombong dengan menganggap segala apa yang dilakukan ini adalah 'pemberian daripada anda'.. 

Kuasa yang ada pada kita hanya dipinjamkan oleh Nya... Bila-bila masa Dia boleh mengubahnya... Tak kira apa pun kita namakan perkara itu, sesungguhnya ia bukanlah dari kita.. 

Brim brim broom!!!

© Senyum Poyo

Monday, February 17, 2014

MANGSA & PEMANGSA

Entah kenapa, aku dah jadi malas nak mengetuk keyboard ni untuk buat entry sejak awal tahun tu hari... Macam tak de benda nak coret jer... lagi-lagi politik dan keluhan yang tak de kesudahan. Korang pun mesti bosan dah nak layan tul tak?

Namun disebabkan jiwa yang suka mencoret, aku terpanggil jugak nak buat entry pertama untuk tahun 2014 ni. Tapi kali ni bukan nak citer pasal politik la. Bukan jugak isu prk Kajang walaupun aku dah lebih sedekad menjadi rakyat Kajang... pada aku, walau apapun pendapat yang diberikan, mesti tidak akan menyenangkan semua pihak. So, aku pilih untuk jadi pemerhati tetap kali ni. Lagipun aku bukan pangkah kat Kajang pun. So, Buat apa nak sibuk2 berkempen... 

So entry aku kali ni ialah pasal kehidupan. Bukan nak 'deep' sangat pun. Cuma sekadar mengambil dan menganalisa secara mudah tentang kejadian dan peristiwa yang telah dan sedang berlaku...

Kebelakangan ni aku banyak membaca tentang perihal kehidupan manusia di dunia yang serba moden lah kononya ni. Bukan sajer di negara ini, malah seluruh dunia...Semakin hari semakin ramai yang hilang pertimbangan akibat gangguan mental yang tertekan oleh cengkaman ekonomi yang tiada belas kasihan pada sesiapa.

Apakah kerna semua orang melakukan atau seluruh dunia mengalami perkara yang sama, kita harus meng'halal'kan perbuatan dan tindakan yang tidak bertamadun ini? Oh tidak? Tidak untuk aku!

Justeru, kita lihat insan yang teguh pendirian dan pegangan agamanya akan terus merentas cabaran ini dengan mencari jalan penyelesaian. Manakala yang agak kecewa atau 'dikecewakan' dengan 'nasib' akan mencari hujah-hujah songsang untuk memenuhi tuntutan 'rasa' kecewa itu walaupun ia akan menjurus kepada rasa yang lebih 'hiba'. Manakala ada pula golongan yang 'rapuh' pendirian dan pegangan, mengambil jalan pintas dengan bertindak 'buas' dalam mencari penyelesaian kepada masalah mereka. 

Lihat saja di dada-dada akhbar setiap hari kebelakangan ini. Tindakan segelintir manusia yang 'rapuh' ini amat menyedihkan. Nyawa manusia lain umpama barang taruhan untuk menyelesaikan kekusutan mereka. Harta milik insan lain umpama 'hadiah' kepada sebuah 'pertandingan'  yang harus di rampas oleh mereka yang menang dan 'berkuasa'. Tidak dapat dengan lembut, cara kasar menjadi pilihan. Anak-anak kecil dan wanita dilihat sebagai barang 'mainan' yang boleh diperlakukan sesuka hati (tak payah aku nak elaborate). Yang paling menyedihkan, insan yang menjadi mangsa ini selalunya tidak mampu mempertahankan diri, melainkan hanya menyerah.. Sungguh menyedihkan.

Itu cuma antara contoh yang aku nak gambarkan. Ada macam-macam lagi yang tak perlu aku coretkan. Rasanya, kita semua pun sedar... Tapi, apakah yang mampu kita lakukan? Apakah tanggungjawab ini harus dipikul oleh hanya segelintir pihak yang bilangannya kurang 1/3 daripada jumlah 'player' yang terlibat? Mampukah?

Jauh di sudut hati, aku sudah lama merasa. Mindaku semakin berkecamuk berfikir; apakah akan jadi pada generasi anak-anak aku dalam tempoh 10-20 tahun akan datang? Mungkinkah mereka ini akan jadi 'mangsa' atau 'pemangsa' yang telah terpengaruh dengan acuan yang sedang dibina oleh generasi kita pada hari ini? Tanpa kita semua sedari? Oh No!!!

Semoga kita dan mereka ini terus dilindungi dari menjadi salah satu daripadanya. Justeru, aku rasa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencipta satu lagi kumpulan yang pastinya BUKAN 'mangsa' ataupun 'pemangsa'. Apakah dan bagaimanakah?

Ya tuhan... selamatkanlah kami dan generasi kami dari perkara-perkara yang bathil dan menjijikkan... Rahmatilah kahidupan kami di tanahair yang bernama Malaysia ini.. Amin

Hasbunallahu Wanekmal Wakel...

MY Channel

Loading...