Friday, September 30, 2016

SALAM MAAL HIJRAH 1438H

Hari ini merupakan hari Jumaat terakhir bagi tahun Hijrah 1437. Dua hari lagi kita akan menyambut bulan muharam dan seterusnya tahun baru 1438Hijrah. Justeru, dengan kedatangan bulan baru bagi tahun baru Hijrah ini sama-sama lah kita bertekad dan berazam untuk meneruskan kehidupan dengan lebih matang dan rasional.


Terlalu banyak perkara yang aku anggap kalut dan tersasar sepanjang tahun lalu. Namun sebagai hamba dan insan yang sentiasa berada dalam kedudukan yang 'lemah' dan khilaf, kita hanya mampu berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam diri. Sudah pasti, Pencipta yang Maha Agong dan Maha berkuasa mengaturkan segala-galanya dengan maksud yang penuh rahsia dan hanya Dia lah yang mengetahuinya.


Sesungguhnya, aku bersyukur kerana diberikan peringatan untuk terus sedar bahawa aku hanyalah menjalankan apa yang telah direncanakan olehnya didunia ini. Yang pasti, aku sentiasa memohon agar kita semua dikurniakan kesejahteraan dan keselamatan bagi meneruskan hidup yang sebenarnya hanya beberapa ketika didunia yang fana ini. 

Bersamalah kita memohon dengan doa yang tulus agar kita semua diberi keampunan diatas segala kesilapan lalu serta dipelihara dari segala kejahatan. Mudah-mudahan negara kita yang tercinta ini terus dikurniakan keamanan dan dihindari dari segala musibah yang menghancurkan...

Insha Allah,.. Aamin.

Friday, September 16, 2016

SELAMAT HARI MALAYSIA

Hari ini 16hb September 2016, semua tahu yang kita akan menyambut Hari Malaysia yang ke-53. Alhamdulillah syukur kerana negara tercinta ini masih aman dan tenang dari segi aktiviti harian rakyatnya. Kita masih boleh bergerak kemana-mana tanpa dihantui kegusaran tentang sebarang keganasan melampau ataupun pergolakan seperti yang dialami oleh beberapa negara lain. 

Sesungguhnya hari ini merupakan satu hari yang amat bersejarah buat kita seluruh warga Malaysia. Pembentukan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 53 tahun lalu, telah benar-benar diterjemah dan dipertahankan bersama-sama hingga ke hari ini. 

Hingga disaat ini, negara tercinta yang bernama Malaysia ini telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang aman dan makmur serta tenteram untuk menjadi tempat tinggal kita semua. Alhamdulillah, walaupun masih ada gangguan dari pihak luar yang cuba ingin memecah belahkan, kita masih mampu menanganinya secara diplomasi.

Namun, permasalahan dalaman akan terus wujud selagi kita hidup. Apalagi sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, pastinya perselisihan pendapat serta gangguan emosi antara satu sama lain akan berlaku. Tetapi bagaimana kita berkompromi didalam mencari jalan penyelesaian itulah yang menjadi keutamaan yang harus kita ambil secara serius.

Apapun permasalahan yang wujud dikala ini, baik diperingkat kepemimpinan hinggalah kepada rakyat jelata, harus kita tangani secara rasional dan bijaksana demi mempertahankan hasil perjuangan generasi terdahulu sejak 53 tahun lalu. 

Kepentingan umum harus diberikan keutamaan. Emosi yang terganggu oleh segala permasalahan yang timbul pula tidak harus di tangani secara melulu sehingga memberi kesan buruk kepada keseluruhan kehidupan orang lain yang sama menumpang teduh diatas bumi keramat anugerah yang Maha Esa ini.. 

Justeru, marilah kita semua berganding bahu serta berikrar  dengan satu semangat yang baru untuk melangkah ke arah kehidupan yang lebih sempurna didalam sebuah negara yang bernama Malaysia ini dengan lebih tenang, tenteram dan selamat. Bukan hanya untuk diri kita, tetapi juga untuk kita wariskan kepada anak cucu dan generasi akan datang.

Selamat Hari Malaysia!

© Senyum Poyo

Tuesday, September 13, 2016

KEANGKUHAN NAK TUTUP BINGAI

Satu Malaya dah tahu pasal statement sorang 'pemimpin hebat' ni. Bagi aku, keras, kasar serta biadap. Tidak langsung menggamit rasa hormat dari aku dan mungkin juga dari sesetengah masyarakat di bumi tercinta ini. Dan sejujurnya, aku bukannya sesiapa yang mampu memberi teguran selain meluahkanya di entry aku ni... 

Bagi aku, menghalalkan pertuturan kurang ajar demi menterjemahkan sikap berterus-terang adalah sikap seorang yang cetek pemikiran serta bodoh. Malah ia sikap pengecut yang tidak tahu bagaimana mempertahankan budaya bangsa yang disusun atur oleh nenek moyang terdahulu.

Sebagai seorang 'pemimpin' yang mengetuai sebuah kementerian yang mana agensi-agensi dibawahnya bertungkus lumus mengangkat dan memperjuangkan 'budaya serta teras-teras kebangsaan berasaskan adab' di mata pelancong asing, beliau aku anggap sebagai 'perosak' yang memimpin kearah kerosakkan budaya dan adab bangsa majoriti di tanahair ini. Oh mungkin dia terlupa tentang rukun negara yang ke-lima.. 

Ni aku ingatkan:
'Kesopanan dan Kesusilaan'

Namun siapa aku yang mampu mengubah sikap si 'biadap' sorang ni? Dan juga sikap tingkahlaku beberapa spesis yang sejenis dengannya. Justeru biarkanlah dia terus melalak dan melaungkan sambil membuat pengakuan tentang kebodohannya secara tidak sedar... kehkehkeh

Bagaimanapun aku juga akui, sikap sesetengah pengamal media juga mungkin menyumbang kepada punca 'kebodohannya' terserlah. Pintar sungguh wartawan ni sebenarnya. Tindakan provokasi dan serta keghairahan untuk mendapatkan maklumat demi menjadi yang pertama dan terhangat, menjadikan sesetengah pemimpin ini tidak mampu atau tidak berkesempatan untuk berfikir secara rasional sebelum menjawab sebarang persoalan yang diajukan. Nah, apa lagi jika caranya itu bebentuk soalan 'batu api' yang dengan jelas ingin melaga-lagakan mereka.

Namun apa pun alasannya,  kematangan pemikiran pemimpin itu sendiri tatkala berdepan dengan para pengamal media ini harus diterjemahkan melalui pertuturan jawapan yang diberikan. Bagi aku tidak perlu emosional dalam memberikan pendapat. Dan tidak menjadi kewajiban juga untuk pemimpin ini menjawab setiap soalan yang diajukan jika ianya dianggap tidak penting dan tidak menggugat kepemimpinan beliau. 

Hatta, jawapan yang menampakkan kebodohan dan keangkuhan itulah sebenarnya memberikan gambaran bahawa beliau dalam keadaan yang sangat tergugat... dia yang kompomkan sendiri, Ye tak? Tak payahlah kita nak susah payah pikir dia ni pandai atau bingai... Kehkehkeh...


Wallahu a'lam..


© Senyum Poyo

Tuesday, September 6, 2016

MENUJU KEHANCURAN? BETUL KE NI?

Aku terbaca mesej yang rasanya dah viral di WA beberapa hari lalu. Jika ikut cara 'ingatan' yang diberikan, memang menyeramkan... bagi aku lah kot!

Tapi, Iye ke? mesej itu kononnya mengingatkan masyarakat supaya menangguhkan sebarang pelaburan, pembelian hartanah atau kereta, di samping berbelanja secara berhemah. Orangramai juga dinasihatkan menyimpan duit yang ada untuk berdepan tempoh sukar yang bakal tiba itu.

Walau dalam situasi antara nak percaya dengan tidak, aku cuba membuat analisa aku sendiri... Dalam persekitaran ekonomi dunia tidak menentu ketika ini, ramai pakar ekonomi sekalipun tidak dapat memberi ramalan tepat apa akan berlaku.. Hmmm...

Tapi, berdasarkan 'laungan' orang-orang hebat di negara ini, ekonomi negara masih bertahan walaupun diancam persekitaran ekonomi dunia sangat mencabar. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, ia berkembang 4.1 peratus. Ia juga agak menyeluruh iaitu semua sektor utama mencatatkan pertumbuhan positif kecuali pertanian.

Untuk keseluruhan 2016 ini, Bank Negara yakin ekonomi negara akan tumbuh antara 4.0 dan 4.5 peratus. Seperti pada separuh pertama lalu, Bank Negara menjangkakan pertumbuhan separuh kedua ini juga akan terus dipacu permintaan domestik, merangkumi perbelanjaan swasta (pelaburan syarikat dan perbelanjaan pengguna) serta awam.

Maknanya, jangkaan bank pusat itu sudah mengambil kira unjuran kelembapan ekonomi luar serta kelemahan harga minyak dunia. Di pihak kerajaan pula, selain menyuntik pelbagai projek prasarana dan melaksanakan program merangsang pendapatan boleh guna orang ramai, ia juga giat mengadakan inisiatif menggalakkan industri menggunakan lebih banyak bahan tempatan.

Justeru, prospek ekonomi negara bagi tahun ini masih positif. Begitu juga tahun depan. Bersandarkan asas-asas yang ada, Bank Dunia Jun lalu mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang 4.4 peratus tahun ini dan 4.5 peratus tahun depan.

Bagi ekonomi dunia pula, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lalu mengunjurkan pertumbuhan 3.1 peratus tahun ini dan 3.4 peratus tahun depan.

Berdasarkan fakta itu, aku tidak nampak apa dimaksudkan 'menuju kehancuran' seperti disebutkan dalam mesej diviralkan, melainkan mereka yang melakukan mempunyai agenda untuk kepentingan yang tersembunyi. Malah, mungkin sengaja untuk menakut-nakutkan masyarakat agar dengan tujuan tertentu.... entah lah...

Memang dan tak boleh disangkal bahawa sekarang ini wujud pelbagai risiko dan tekanan terutama dari luar, tetapi jika pelaburan ditangguhkan dan perbelanjaan pengguna jatuh mendadak, sudah pasti menjerumuskan ekonomi negara kepada kemelesetan.

Eh, Tetiba je jadi macam penganalisis ekonomi pulak aku ni... kehkehkeh...
Apa pun, info diatas tu aku ambil dari apa yang aku baca penulisan kolumnis Saidon Idris di BH.

Sebenarnya ia menarik perhatian aku, serta  berminat untuk aku kongsi dengan anda yang sama-sama mengalami masalah 'kerisauan ekonomi' macam aku... 

Nak sedapkan hati lettew..kehkehkeh

Wallahu A'lam...


Wasalam | © Senyum Poyo

Wednesday, January 6, 2016

RAGAM PEWARIS

Rata-rata media utama sedang rancak melaporkan kisah persekolahan anak-anak sejak beberapa hari lalu. Jelas sekali perhatian akan tertumpu kepada insiden-insiden lucu, comel dan tegang yang terpaksa di 'hadap' oleh pendidik yang terlibat.
Namun ia bukan lagi perkara yang eksklusif. Cuma secara tradisi, ia cukup 'besar' untuk dijadikan headline hampir di seluruh media. Sama macam kisah hari raya... hehe.

Aku juga tidak terkecuali mengharungi saat istimewa ini. Dalam diam, pejam dan celik, marah dan kasih, rupanya putera sulongku sudah menjengah fasa baru dalam kehidupannya. Apa pun bayangan yang tersimpan dalam benaknya, hanya dia sendiri yang tahu. Aku sekadar mampu menterjemah rasa itu melalui raut wajah serta tenungan matanya pada hari pertama persekolahannya. Namun terasa bangga dijiwaku dan rasa syukur yang sangat tinggi kerana diberi kudrat dan kesempatan untuk berkongsi rasa yang pernah aku lalui hampir 40 tahun lalu. Cuma cara dan laluannya jauh berbeza... 
Mmm... itu sudah menjadi sejarah.

Bagi aku bukan sejarah itu yang mahu aku ulang dan ulang serta dijadikan topik penceritaan. Tidak juga untuk dijadikan contoh atau rujukan. Situasi sudah terlalu jauh berbeza. Mana mungkin aku mengajarkan dia untuk bertindak sepertimana tindakan aku pada empat dekad lalu..
Apa yang lebih penting ialah, anak-anak ini bakal menjadi apa  tatkala dia seumur aku nanti? Yang aku tahu... dan anda juga tahu ialah mereka ini bakal menjadi pewaris. Pewaris  kepemimpinan... Pewaris keluarga... Pewaris generasi... Pewaris negara... Tetapi pewaris yang bagaimana?

Samada warisan itu putih, hitam mahupun kelabu, kitalah yang mencorakkannya disaat ini. Kiri atau Kanan langkah pertamanya... Lurus atau bengkok laluannya adalah berasaskan kepada pimpinan dan dorongan anda dan aku sekarang... Huh... sesungguhnya besar sekali amanah ini...

Kecomelan, suka dan duka yang kita lihat tatkala kaki mereka melangkah masuk kebilik darjah itu hanyalah sekeping cermin yang menggambarkan permulaan  kepada kehidupan yang kita lalui hari ini... Dan yang lebih penting untuk diamati ialah, kemanakah haluannya tatkala mereka mencecah usia seperti aku ini nanti...

Aku akan terus berdoa semoga anak-anak ini sentiasa dilindungi, diberkati dan dirahmati oleh Nya seterusnya menjadi insan  berilmu yang memanafaatkan ilmu yang dimiliki demi kebaikan diri mereka, kesejahteraan keluarga seiring dengan memartabatkan agama dan mempertahankan kedaulatan negara....

Amin Ya Rabbal Alamin...

Sunday, January 3, 2016

SELAMAT TAHUN BARU LAGI... KE 2016

Alhamdulillah.. Syukur masih dipanjangkan umur untuk menjengah ke tahun 2016... 
Entah berapa banyak azam yang di buat pada tahun2 lalu yang tak pernah sempat ditunaikan. Namun bagi aku, gerak hati untuk memperbaharui keinginan, cita-cita dan target itu rasanya sudah memadai untuk menggambarkan bahawa gua sentiasa ingin memperbaiki masa depan kehidupan gua.

Dalam agama pun telah diingatkan bahawa setiap amalan itu bermula dengan niat. Tetapi niat harus di susuli dengan tindakan yang akan merealisasikan tujuan dan maksud tersebut. Contohnya kalau nak makan... cer pasang je niat nak makan. Pas tu dok lah tunggu kat situ sampai kiamat... Paham-paham je lah ek... 

Memikirkan tentang masa depan, Aku pun agak gusar kali ini. Maksud aku, untuk menempuh tahun 2016 ni. Menggelisahkan... betul ke ayat tu? lantaklah!
Isu pertelingkahan politik, cabaran ekonomi dan macam-macam isu bodoh semakin tak terbendung. Yang dipertanggungjawabkan cuma sekadar mampu melolong kat media siang dan malam. Fakta mana satu yang betul pun dah tak tahu, disebabkan pelbagai putarbelit yang semakin 'kompleks'. Hanya DIA yang Maha Mengetahui segala rahsia disebalik semua kejadian ini...

Biarpun segala apa yang bakal berlaku nanti harus ditempuhi juga, tetapi persediaan untuk memberi ketenangan dan ketenteraman kepada yang tersayang wajib diutamakan. Keceriaan mereka adalah semangat buat aku dan mungkin korang jugak...

Justeru seperti juga korang semua jugak, aku pun pasang azam baru lagi ni.. ops! azam lama yang diperbaharui lah... Tapi tak yah lah nak heboh apa azam tu kat entri ni... takut carry forward lagi tahun depan... so, aku simpan sendiri je lah ek...

p/s: korang semua pun sama la... toksah lah korang nak heboh2 ngan azam baru... 


© Senyum Poyo

Wednesday, August 5, 2015

SALAM SYAWAL

Walaupun dah hujung-hujung, aku nak jugak ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kat sini...
Tak kisah kalau sesiapa nak cebik, nak kutuk, nak umpat atau nak muntah sekalipun...
Aku cuma nak minta maaf zahir bathin kat semua orang yang lalu, lintas atau singgah kat sini...

Lama benar tak mencoret... Tahun ni, lum ada lagi coretan, amukan dan luahan hati yang aku lemparkan kat sini... Maknanya ok lah tu kot... kehkehkeh

Insya Allah, aku akan mencoret semula bila aku rasa aku nak coret...

Kbye!

© Senyum Poyo

Wednesday, December 31, 2014

SELAMAT TAHUN BARU 2015

Alhamdulillah... 

Tanpa disedari, kita dah pun berada di penghujung tahun 2014.
Esok kita akan membuka lembaran baru, serta menunaikan azam dan mengejar cita-cita yang telah kita rancang dalam hidup kita.

Pasti banyak kisah suka duka yang kita simpan dan telah kita dijadikan memori indah dalam hidup kita.  Walau apa jua memori yang kita kumpulkan sepanjang tahun 2014, sudah tentu ia akan menjadi pengalaman yang sangat bernilai dalam meneruskan penitian perjalanan hidup di atas muka bumi ini.

Justeru, hanya rasa syukur yang wajib kita panjatkan kerna masih diberikan peluang untuk bernafas dan menghirup nikmat yang dipinjamkan ini. Kepada rakan-rakan, saudara mara yang telah dijemput oleh Nya pada tahun lalu, hanya doa yang dapat kita titipkan semoga sentiasa berada didalam lindungan Nya disana. 

Terus kekalkan keceriaan dan sentiasa berfikiran positif. Semoga esok lebih baik dari hari ini.

Selamat menyambut tahun baru 2015.


© Senyum Poyo

Friday, August 1, 2014

SELAMAT HARI RAYA 1435h

Walaupun dah agak terlambat sikit, aku rasa masih 'sah' untuk aku ucapkan;

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
buat semua saudara, rakan dan kenalan yang selama ini bersama aku secara langsung dan tidak langsung...

MAAF ZAHIR DAN BATHIN
jika ada terkasar bahasa, tersalah interpret dan ter'kutuk' sesikit tu ek...

harap kita dapat mulakan dengan lembaran baru...
Kita KOSONG KOSONG la yer

Wassalam....

Thursday, July 3, 2014

RAMADHAN KAREEM 1435

Ramadhan kembali lagi..... 
Alhamdulillah, syukur telah dipanjangkan usia untuk bertemu bulan ramadhan al mubarak pada tahun 1435 hijrah ini. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang bulan yang mulia ini untuk bersama-sama mengecap nikmat yang belum pasti dapat kita temui lagi selepas ini. 

Apa yang menarik pada ramadhan kali ini ialah cabaran keadaan cuaca yang ekstrim ketika ini. Mengikut ramalan, Fenomena El-nino dan ntah apa2 namanya lagi bakal melanda negara sepanjang ramadhan hingga ke pertengahan syawal nanti. Suasana ini pastinya memberikan kita semua satu ujian yang lain dari tahun2 lepas. Namun segala yang berlaku ini pasti ada hikmah disebaliknya. Hanya Dia yang Maha Tahu... Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan ramadhan ini... Seterusnya mendapat rahmat dan limpahan keberkatan dari Nya...  Amin

Aku dah tak de apa yang nak di coretkan selain ingin mengucapkan "selamat menunaikan ibadah puasa untuk semua umat Islam dimana saja anda berada...." 

© Senyum Poyo

MY Channel

Loading...